Gambaran keseluruhan Festival_Filem_Malaysia_ke-30

Pengumuman rasmi FFM30 diadakan pada Julai 2018, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan bakal memberi kelainan kepada penganjuran FFM30 dengan membuka penyertaan daripada filem antarabangsa terutama negara Asia.[6]

Pada 7 September 2018, tarikh penganjuran yang ditetapkan untuk festival ini diadakan ialah pada 8 Disember 2018 selepas beberapa kali ditunda akibat masalah teknikal.[7] FFM30 pada asalnya dijadualkan untuk penganjurannya pada September, namun ditunda ke Disember akibat peralihan kerajaan sebelum memilih tarikh penganjuran 30 Mac 2019.[8]

Menurut Pengarah festival Abdul Khalid Moulod dalam satu sidang akhbar pada 12 Mac 2019, sebanyak 42 filem akan berentap bagi membolot anugerah dalam 24 kategori yang dipertandingkan dalam FFM-30 yang dijadual berlangsung pada 30 Mac. "Daripada 42 filem itu, 25 dalam bahasa Melayu, 10 bahasa Cina termasuk dua Kantonis dan tujuh bahasa Tamil,"[9] Tarikh tutup bagi penyertaan filem yang dipertandingkan ialah pada 31 Disember 2018, pengumuman Top 5 untuk semua 24 kategori termasuk kategori utama seperti Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Terbaik diumumkan pada 7 Januari 2019.[10]

Pada malam anugerah, FFM 30 tidak lupa untuk mengenang jasa penggiat seni yang telah kembali ke Rahmatullah. Lagu "Pelangi Petang" nyanyian asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad dipersembahkan oleh Innuendo dan Flag Nation didedikasikan khas kepada pelakon dan penyanyi seperti Tan Sri Jins Shamsuddin, Zaibo, Pak Ngah, Norma Alang, Saleem, Mior Ahmat Zaudi dan ramai lagi.[11] Barisan penyampai anugerah terdiri daripada Pekin Ibrahim, Liyana Jasmay, Izzue Islam, Faizal Hussein, Fauziah Nawi, Zul Ariffin, Fauziah Ahmad Daud dan ramai lagi.